BAGAIMANA MAHU BERHADAPAN DENGAN MUSUH ISLAM!!
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sudah membuat keputusan iaitu mengisytiharkan Jerusalem atau Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel menggantikan Tel Aviv. Tindakan yang menyebabkan suasana panik, kemarahan dan bantahan di sana-sini seolah-olah tidak percaya serta sukar menerimanya.
Dalam rencana saya pada Februari lalu bawah tajuk ‘Trump: Penentu Aman dan Hancurnya Dunia,’ dalam Mega Mimbar Utusan Malaysia antara lain menyatakan bahawa dengan memiliki karakter lelaki ‘gila’ adalah tidak mustahil dalam pentadbiran Trump melakukan pelbagai perkara gila termasuk meneruskan janji pilihan raya untuk menamakan Jerusalem sebagai ibu negara Israel.
Keputusan telah dibuat dan tiada tanda-tanda Trump bakal mengubah keputusannya meskipun dibantah oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti Britain dan Perancis, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mesyuarat tergemparnya pada Jumaat lalu juga menolak keputusan Trump.
Banyak analisis dibuat pelbagai pihak dengan mengemukakan hujah sejarah, geografi, sosiopolitik dan strategik, perbincangan serta kupasan semuanya sudah dikeluarkan. Saya tidak bercadang untuk mengupas dari sudut-sudut ini, sebaliknya mahu mengajak pembaca khususnya umat Islam untuk berfikir dan menghalusi tentang cara atau strategi menghadapi si gila Trump.
Bantahan, kecaman, demonstrasi, ugutan, memorandum persefahaman, boikot dan pelbagai cara telah berlaku di seluruh dunia bagi mengutuk keputusan Trump, lagi menyedihkan apabila pada peringkat pemimpin, hanya segelintir pemimpin Islam yang lantang dan berani telah bersuara, seperti mana ditunjukkan oleh Raja Abdullah dari Jordan, Reccep Tayyip Erdogan dari Turki dan beberapa pemimpin Islam yang lain, yang selebihnya diam membisu atau sekadar menumpang memukul gendang dan sibuk dengan hal-hal dalaman masing-masing.
Sejauh mana berkesannya semua tindak balas ini ke atas AS dan Israel? Bagi saya, semua bentuk tindak balas ini sebagai cara-cara tradisional yang sudah tidak lagi berkesan dan ditakuti Trump mahupun Israel. Malah, Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah tahu dan menjangkakannya akan berlaku, tidak lebih daripada itu.
BERI NAFAS BAHARU KEPADA LANGKAH TRADISIONAL
Selain, Erdogan dan Raja Abdullah, ulama Islam terkenal Yusuf al-Qaradhawi telah menyeru seluruh umat Islam agar mengangkat senjata memerangi Trump dan Netanyahu, satu seruan besar, berani dan berisiko.
Ia disifatkan sebagai satu strategi betul dan terbaik, meskipun dilihat belum tiba masanya lantaran kedudukan dan kelemahan yang dimiliki negara serta umat Islam masa kini. Tetapi setidak-tidaknya negara dan umat Islam harus memulakan langkah ke arahnya.
Dalam isu perisytiharan Jerusalem oleh Trump, kesannya lebih dirasai umat Islam Palestin, sehingga rencana ini ditulis satu nyawa sudah menjadi korban sementara ramai lagi yang cedera diperangi tentera laknatullah Yahudi. Ketika umat Islam lain di seluruh dunia berdemonstrasi secara aman sesama sendiri, rakyat Palestin berdepan dengan senjata-senjata canggih Israel yang sudah diletakkan dalam keadaan bersedia pada bila-bila masa untuk menggempur sedangkan rakyat Palestin hanya ada batu, tayar dan kayu sebagai senjata.
Sudah tiba masanya pendekatan lain difikirkan untuk diberikan kepada rakyat Palestin untuk mempertahan tanah air dan keselamatan mereka. Harus difikirkan tentang cara-cara untuk memberikan mereka senjata, memberi peralatan untuk membuat senjata dan melatih membuat senjata.
Dari sudut politik dan diplomatik, negara-negara Islam hendaklah memutuskan dalam tempoh 24 jam hubungan diplomatik dan memanggil balik semua pegawainya di luar negara sementara semua pegawai dan kakitangan kedutaan asing yang terlibat diarah pulang ke negara-negara masing-masing.
Dari sudut ekonomi pula, semua urus niaga dan hubungan perdagangan termasuk dalam pelbagai bidang lain juga hendaklah digantung serta merta. Tokoh dan pemimpin Barat yang menyokong Amerika dan Israel hendaklah dilarang memasuki mana-mana negara Islam sebagaimana musuh melakukannya terhadap tokoh serta pemimpin Islam.
Sekurang-kurangnya mereka tahu dan melihatnya sebagai amaran terhadap mereka. Sudah sampai masanya seruan-seruan sebegini dibuat dalam demonstrasi dan hendaklah ditulis dalam memorandum bantahan sebagai pendekatan yang lebih serius dalam memerangi musuh-musuh Islam.
Pendekatan dan strategi lebih keras adalah keutamaannya sekarang. Dalam hal ini, saintis, ekonomis, teknologis, strategis, cendekiawan Islam hendaklah dikumpul dan digerakkan ke arah semua usaha ini sebagai senjata ampuh melawan musuh-musuh Islam
BERSEDIAKAH NEGARA ISLAM HADAPI ‘RIBUT KEDUA’?
Persoalannya, adakah dunia Islam, negara-negara Arab dan seluruh umat Islam sudah bersedia untuk melaksanakan apa yang disarankan? Di atas kertas begitu banyak implikasinya, iaitu ekonomi, politik, sosial dan kebinasaan.
Dalam keadaan dunia Islam hari ini yang berpecah belah, berperang sesama sendiri, dengki dan khianat sesama sendiri, pergantungan ekonomi kepada Barat, kurang menguasai ilmu dan teknologi dan 1,001 kelemahan berbanding bangsa-bangsa lain, maka matlamat untuk menghentikan segala bentuk penindasan, penghinaan dan penjajahan oleh negara-negara seperti Israel serta AS khususnya tidak akan tercapai.
Jawapannya bergantung kepada sejauh mana dunia Islam, negara-negara Arab dan umat Islam keseluruhannya mahu bersatu, menguasai semua cabang ilmu pengetahuan. Pada waktu dan ketika itu pastinya akan datang pertolongan Allah dan dengan mudah semua musuh akan berjaya dikalahkan.
Cabaran paling besar yang perlu diatasi umat Islam hari ini ialah menukar persepsi bahawa Islam itu sebenarnya adalah agama kebenaran dan bukannya keganasan seperti yang dipromosikan Barat. Untuk menukarnya, Islam hendaklah menjadi contoh dan teladan dalam semua bidang kehidupan.
Cadangan-cadangan untuk dilakukan oleh umat Islam adalah sebagai satu strategi kekuatan dan langkah mempertahan diri. Kesimpulannya, jika ribut pertama perisytiharan Baitulmaqdis menjadi ibu negara Israel sudah berlaku, kini hanya menanti ribut kedua, iaitu pemindahan kedutaan AS ke situ.
Ketika kesan tiupan ribut pertama belum reda, adakah ribut kedua akan dibiarkan berlaku dan membawa kebinasaan lebih dahsyat terhadap Islam dan umatnya?
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, pertolongan paling besar tentunya daripada Allah SWT yang tidak dimiliki pihak musuh, dengan syarat umat Islam segera kembali berpegang teguh kepada tali Allah, Insya-Allah!
SUMBER: Utusan Melayu (M) Bhd
Kami berharap agar artikel BAGAIMANA MAHU BERHADAPAN DENGAN MUSUH ISLAM!! ini dapat memberi manfaat untuk kita semua. Bak kata pepatah,"MEMBACA JAMBATAN ILMU".
0 Response to "BAGAIMANA MAHU BERHADAPAN DENGAN MUSUH ISLAM!!"
Post a Comment